Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah
ditubuhkan dan diasaskan oleh En. Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah
Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pada mulanya pasukan ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia
(KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan
Pelajar-Pelajar Islam SMRA (PERWIRA). Keahliannya adalah seramai 20
orang pelajar sahaja iaitu terdiri daripada pelajar tingkatan I dan 2.
Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang
yang BERILMU, BERIMAN, DAN BERAMAL, berakhlak mulia, bersemangat
patriotik dan berketrampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi
tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah Wawasan 2020.
Pasukan KPIM ini bernaung di bawah
pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.
Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA
KEHIDUPAN (AD DEEN). Mulai tahun 1989 beberapa buah sekolah di Wilayah
Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM. Di antaranya ialah Sek. Men. Taman
Tun Dr Ismail di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Farazilla Bin Abdul Ghani,
Sek. Men Seri Titiwangsa di bawah pimpinan En. Anuar Bin Abd Aziz dan
Sek. Men. Agama Ma'ahad Hamidiah, Kajang, Selangor di bawah pimpinan
En. Abu Hassan Bin Morad. Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah Sekolah
Menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan
KPIM secara rasmi dan bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia
telah dimulakan pada 10 Ogos 1993. Satu pertemuan telah diadakan dengan
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid Bin Wan Mohd Nordin
iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Di
dalam pertemuan ini tesis mengenai KPIM telah dibentangkan. Hasilnya,
sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas
kabinet. Jawatankuasa ini mencadangkan agar pasukan ini diberi nama
KADET PUTERA - PUTERI ISLAM (KPIM). Walau bagaimanapun nama pasukan
ini kemudiannya ditukar kepada KADET REMAJA ISLAM (KRIS).
Sementara itu taklimat dan pendedahan
kepada Pengarah-Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan yang diadakan
pada bulan Oktober 1993 dan dipengerusikan oleh yang berbahagia Tan Sri
Datuk Dr. Wan Mohd Zahid telah membuat keputusan agar nama pasukan ini
ditukar kepada KADET REMAJA SEKOLAH (KRS) yang bertujuan agar
keahliannya terbuka kepada semua kaum sama ada pelajar lelaki atau
perempuan. Upacara Pelancaran KADET REMAJA SEKOLAH Peringkat Kebangsaan
telah diiaksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharam 1416
oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Menteri
Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong,
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment